Thursday, March 17, 2011

Ulasan Rencana: Kesan Kebiadaban Dunia Siber



Merujuk kepada rencana bertajuk Kesan Kebiadaban di Dunia Siber yang ditulis oleh Dr. Rahmat Ghazali bertarikh 18 April 2010, kita dapat merumuskan bahawa betapa pentingnya nilai etika dalam diri setiap individu, apatah lagi sebagai rakyat sebuah negara yang berbilang bangsa.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Dr. Rahmat yang mengatakan bahawa “kebebasan siber telah disalahertikan oleh sebahagian besar pengguna internet”. Pada pendapat saya, segelintir rakyat Malaysia kurang memahami ertikata “kebebasan bersuara” yang telah digariskan oleh kerajaan serta falsafah demokrasi.

Ada antara mereka yang berselindung di sebalik istilah “demokrasi” yang mereka ertikatakan sebagai kebebasan mutlak untuk bersuara. Walhal, kerajaan telah menggariskan bahawa setiap warganegara terikat dengan undang-undang Malaysia, termasuklah Akta Hasutan Seksyen 2 dan 3(1) yang mengatakan bahawa setiap perbuatan, percakapan, atau penerbitan tidak dianggap hasutan selagi ia tidak mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan kebencian terhadap mana-mana pihak. Ini bermaksud, setiap individu diberikan kebenaran untuk meluahkan pendapat masing-masing selagi ia tidak menimbulkan kebencian terhadap mana-mana pihak yang kemudiannya akan membawa kepada tragedi yang tidak diingini seperti kes 13 Mei yang melanda negara kita pada tahun 1969.




Sebagai seorang manusia yang waras, kita hendaklah berfikiran terbuka. Terbuka dari segi apa? Kita hendaklah merenung jauh ke hadapan. Apabila seseorang bercakap tentang demokrasi, fikiran kebanyakan mereka hanya tertumpu terhadap “kebebasan bersuara”. Tahu pula apa maksud demokrasi. Tetapi cuba kita buka tajuk undang-undang dan sekatan terhadap kebebasan bersuara, sudah pasti ramai dalam kalangan mereka yang akan melenting. Kenapa? Kerana mereka tidak memahami sepenuhnya maksud sebenar demokrasi. Pada pendapat saya, mereka yang menyalahgunakan kebebasan bersuara ini adalah dalam kalangan mereka yang berfikiran sempit, tidak diberi pendidikan awal mengenai betapa pentingnya menjaga hak dan kepentingan orang lain. Dalam ertikata lain, mereka adalah individualistik yang hanya mementingkan diri sendiri.

Sebagai cadangan, saya rasa kadangkala ada perlunya kita pandang ke barat. Sebagai contoh, Amerika Syarikat mendidik anak-anak mereka mengenai perlembagaan negara mereka sejak di bangku sekolah rendah lagi. Sesuai dengan pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ya, saya bersetuju dengan kenyataan Goh Cheng Teik (1978), suasana panas persekitaran kini umpama ‘bom jangka’. Walau bagaimanapun, sesebuah  ‘bom jangka’ boleh “dibatalkan” dengan melengkapkan generasi muda kita dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan undang-undang dan perlembagaan Malaysia. Selain itu, nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam diri setiap insan, agar mereka belajar mernghormati orang lain sepertimana mereka mahu diri mereka dihormati.

Thursday, March 3, 2011

Bas Ekspres : Sikap Tidak Endah Pemandu

            Isu kemalangan bas ekspres memang sudah tidak asing lagi di mata rakyat Malaysia. Kemalangan bas ekspres terjadi di mana-mana sahaja – di lebuhraya, jalan kampung, mahupun di pergunungan. Beratus nyawa tidak berdosa terkorban akibat kemalangan bas ekspres yang sering terjadi ini. Apakah bezanya kemalangan-kemalangan ini jika hendak dibandingkan dengan kekejaman tentera rejim Israel dan Amerika yang membunuh nyawa-nyawa yang tidak berdosa?
 Namun begitu, sering kita lihat dan dengar, apabila terjadi sahaja kemalangan, semua pihak menuding jari antara satu sama lain. Keluarga mangsa menyalahkan pemandu, pemandu menyalahkan jalan tidak rata, rakyat menyalahkan kedua-dua pihak (pemandu dan kerajaan).
            Sebuah siasatan yang dijalankan oleh dua orang wartawan Unit Khas Utusan Malaysia mendapati rata-rata pemandu bas ekspres terutamanya di Lebuhraya Utara Selatan masih dipandu melebihi had laju 90km/j.
            Sekiranya kita ingin mengkaji sendiri punca kemalangan, kita sendiri perlu “turun padang”. Perhatikanlah sendiri pemandu-pemandu bas yang seakan-akan tidak kisah akan nyawa sendiri dan penumpang lain terutamanya. Pemandu bukan sahaja melebihi had laju 90/km, namun ada yang mencecah 130km/j. Tambahan pula, pemandu-pemandu bas ekspres tidak endah akan keselamatan pengguna jalan raya lain. Mereka sesuka hati menghimpit pemandu yang ada di lorong sebelah.
            Bukan itu sahaja, pemandu bas seringkali dilihat memotong dengan menggunakan lorong paling kanan bagi memotong kenderaan lain yang ada di atas jalan. Mengikut siasatan yang dijalankan oleh dua wartawan Unit Khas Utusan Malaysia tadi, taktik membolosi had laju menggunakan perkhidmatan Push To Talk (PTT) atau Walkie Talkie masih diamalkan. Mereka sanggup membiarkan stereng tanpa kawalan sepenuhnya untuk asyik memberi tumpuan kepada perbualan walkie-talkie sesama 'pemandu pelesit' bagi melaporkan lokasi terdapatnya pasukan polis mengadakan sekatan atau perangkap had laju. "Tol Sungai Besi sampai Menara Tinjau (Kilometer 271 di Seremban) line clear. Tak ada speed trap,” antara yang dapat dirakamkan oleh wartawan terbabit ketika menjalankan siasatan.
            Tidak cukup dengan masalah yg sedia ada, rakyat dikejutkan dengan isu Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia peningkatan had laju bas ekspres dari 90km/j, kepada 110km/j. “Pada saat isu saman ekor hangat diperkatakan, Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) meminta agar had laju bas di lebuh raya dinaikkan daripada 90 kilometer sejam kepada 110 kilometer sejam”. (Utusan, 2010). Diberi betis, nak peha pula. Had laju yang dikatakan “tidak mencukupi” itu pun sudah mendatangkan pelbagai musibah dan mengorbankan banyak nyawa, ingin pula ditambah dengan meninggikan risiko kemalangan. Persoalannya, di manakah letaknya tanggungjawab pemandu? Had laju yang ditetapkan diambil ringan tanpa memikirkan akibat.
            Isu kemalangan melibatkan bas ekspres ini telah lama diperkatakan namun pemandu masih tidak endah dengan pelbagai tragedi yang telah terjadi. Mereka lebih mementingkan wang dengan mengejar “trip” dengan memandu melebihi had laju.
            Persoalannya sekarang ialah sikap sambil lewa dan “takpe” yang menebal dalam diri rakyat Malaysia. Relevankah sekiranya kerajaan mewujudkan saman ekor bagi kenderaan-kenderaan komersil daripada kenderaan persendirian yang rata-rata rakyat Malaysia tidak puas hati dengan pelaksaannya? Tepuk dada, tanya selera.