Isu kemalangan bas ekspres memang sudah tidak asing lagi di mata rakyat Malaysia. Kemalangan bas ekspres terjadi di mana-mana sahaja – di lebuhraya, jalan kampung, mahupun di pergunungan. Beratus nyawa tidak berdosa terkorban akibat kemalangan bas ekspres yang sering terjadi ini. Apakah bezanya kemalangan-kemalangan ini jika hendak dibandingkan dengan kekejaman tentera rejim Israel dan Amerika yang membunuh nyawa-nyawa yang tidak berdosa?
Namun begitu, sering kita lihat dan dengar, apabila terjadi sahaja kemalangan, semua pihak menuding jari antara satu sama lain. Keluarga mangsa menyalahkan pemandu, pemandu menyalahkan jalan tidak rata, rakyat menyalahkan kedua-dua pihak (pemandu dan kerajaan).
Sebuah siasatan yang dijalankan oleh dua orang wartawan Unit Khas Utusan Malaysia mendapati rata-rata pemandu bas ekspres terutamanya di Lebuhraya Utara Selatan masih dipandu melebihi had laju 90km/j.
Sekiranya kita ingin mengkaji sendiri punca kemalangan, kita sendiri perlu “turun padang”. Perhatikanlah sendiri pemandu-pemandu bas yang seakan-akan tidak kisah akan nyawa sendiri dan penumpang lain terutamanya. Pemandu bukan sahaja melebihi had laju 90/km, namun ada yang mencecah 130km/j. Tambahan pula, pemandu-pemandu bas ekspres tidak endah akan keselamatan pengguna jalan raya lain. Mereka sesuka hati menghimpit pemandu yang ada di lorong sebelah.
Bukan itu sahaja, pemandu bas seringkali dilihat memotong dengan menggunakan lorong paling kanan bagi memotong kenderaan lain yang ada di atas jalan. Mengikut siasatan yang dijalankan oleh dua wartawan Unit Khas Utusan Malaysia tadi, taktik membolosi had laju menggunakan perkhidmatan Push To Talk (PTT) atau Walkie Talkie masih diamalkan. Mereka sanggup membiarkan stereng tanpa kawalan sepenuhnya untuk asyik memberi tumpuan kepada perbualan walkie-talkie sesama 'pemandu pelesit' bagi melaporkan lokasi terdapatnya pasukan polis mengadakan sekatan atau perangkap had laju. "Tol Sungai Besi sampai Menara Tinjau (Kilometer 271 di Seremban) line clear. Tak ada speed trap,” antara yang dapat dirakamkan oleh wartawan terbabit ketika menjalankan siasatan.
Tidak cukup dengan masalah yg sedia ada, rakyat dikejutkan dengan isu Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia peningkatan had laju bas ekspres dari 90km/j, kepada 110km/j. “Pada saat isu saman ekor hangat diperkatakan, Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) meminta agar had laju bas di lebuh raya dinaikkan daripada 90 kilometer sejam kepada 110 kilometer sejam”. (Utusan, 2010). Diberi betis, nak peha pula. Had laju yang dikatakan “tidak mencukupi” itu pun sudah mendatangkan pelbagai musibah dan mengorbankan banyak nyawa, ingin pula ditambah dengan meninggikan risiko kemalangan. Persoalannya, di manakah letaknya tanggungjawab pemandu? Had laju yang ditetapkan diambil ringan tanpa memikirkan akibat.
Isu kemalangan melibatkan bas ekspres ini telah lama diperkatakan namun pemandu masih tidak endah dengan pelbagai tragedi yang telah terjadi. Mereka lebih mementingkan wang dengan mengejar “trip” dengan memandu melebihi had laju.
Persoalannya sekarang ialah sikap sambil lewa dan “takpe” yang menebal dalam diri rakyat Malaysia. Relevankah sekiranya kerajaan mewujudkan saman ekor bagi kenderaan-kenderaan komersil daripada kenderaan persendirian yang rata-rata rakyat Malaysia tidak puas hati dengan pelaksaannya? Tepuk dada, tanya selera.
No comments:
Post a Comment